Parameswara telah mengambil keputusan untuk mendirikan sebuah kerajaan yang diberi nama Melaka. Ini kerana Parameswara mendapati Melaka mempunyai banyak keistimewaan. Antaranya ialah;
1. Muara sungai Melaka yang dalam dan kedudukannya yang terlindung daripada tiupan angin monsun amat sesuai untuk dijadikan pelabuhan dan persinggahan kapal.
2. Terdapat bukit yang boleh menjadi petunjuk pelayaran. Bukit itu juga boleh digunakan untuk mengawal kapal yang keluar dan masuk ke Melaka.
3. Terdapat banyak pokok bakau di pantai dan muara sungai yang boleh dijadikan kayu api dan dibuat tiang rumah. Pokok api-api pula dijadikan sebagai benteng pertahanan.
KEGEMILANGAN MELAKA
Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar TunPerpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.
Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.
Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang setelah banyak kawasan jajahan telah dikuasai oleh Melaka pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.
No comments:
Post a Comment